Presiden PAS Ziarahi Pusara Syed Mohamad

(Presiden PAS bersama isteri, anak dan rombonganya berdoa di tanah perkuburan Allahyarham Syed Muhamad selepas solat jenazah untuk beliau)

GOMBAK, 28 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama isteri dan anaknya menziarahi pusara petugas Pejabat Agung PAS, Syed Mohamad Syed Hassan yang meninggal baru-baru ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit dengan solat jenazah di samping berdoa untuk roh Allahyarham. Turut berada di tanah perkuburan itu adalah isteri Allahyarham, Puan Saribas Salleh dan anak perempuan mereka.

Syed Mohamad Syed Hasan, 62, meninggal dunia 13 Januari lepas di rumahnya. Beliau yang mengalami batuk sejak malam meninggal di rumahnya di Taman Melewar kira-kira jam 8.30 pagi. Ketika itu, Abdul Hadi berada di luar negeri.

"Dia seorang yang hebat bersama PAS sejak awal 1970an selepas pulang dari belajar di Indonesia bersama rakan-rakanya iaitu Ustaz Wan Jamil Mahmud (bekas MP Tumpat) dan Bunyamin Yaakub (bekas MP Bachok).

"Allahyarham bukan sahaja bertugas di Pejabat Agung tetapi juga bergerak seluruh negara dalam perkhidmatannya kepada jamaah," kata Abdul Hadi kepada Harakahdaily ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda dekat sini.

Turut serta bersama Abdul Hadi di tanah perkuburan adalah anaknya, Mohd Kholil Abdul Hadi dan isteri, Datin Seri Hajjah Zainab.
 
Sumber: Harakah Daily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...